Home » Uncategorized » KAJIAN TINDAKAN- PENGAJIAN AM

KAJIAN TINDAKAN- PENGAJIAN AM

 

ABSTRAK
Saya selaku guru mata pelajaran Pengajian Am bagi kelas-kelas tingkatan enam menghadapi banyak masalah dengan pelajar berkaitan dengan konsep dan bidang kuasa yang terdapat dalam Bahagian Kenegaraan . Untuk menangani masalah ini, saya telah menjalankan satu Kajian Tindakan bagi tajuk Kerajaan Persekutuan : Bidang Tugas Yang DiPertuan Agong (YDPA) sebagai kuasa eksekutif dalam kerajaan. Niat untuk menjalankan kajian tindakan ini timbul apabila keputusan Ujian Pra yang saya jalankan dalam kelas PAF tidak begitu memuaskan saya. Malah mata pelajaran Pengajian Am merupakan satu mata pelajaran yang penuh dengan pelbagai istilah dan fakta tetapi amat relevan dengan kehidupan seharian pelajar sebagai seorang warganegara Malaysia. Kajian Tindakan ini membantu saya dan pelajar untuk memahami amalan pengajaran guru, pembelajaran pelajar, keadaan pelajar, suasana dalam bilik darjah dan sebagainya. Setelah kajian ini dijalankan, saya berjaya menyelesaikan masalah profesional saya tanpa merujuk arahan luar dan saya dapat membuat keputusan dalam bilik darjah dengan sendiri. Pendekatan Kuiz Kenegaraan yang saya ambil dalam kajian tindakan ini sememangnya satu pendekatan lama, tetapi guru-guru sekarang gagal melaksanakannya di peringkat tingkatan enam atas. Persepsi rata-rata guru tingkatan enam ialah pelajar tingkatan enam ini pandai dan mereka boleh memahami apa jua yang diajar dalam sekelip mata. Kita harus ingat bahawa walaupun mereka agak matang berbanding pelajar-pelajar lain tetapi mereka juga meminati kaedah-kaedah yang pernah dilalui oleh mereka ketika mereka di bangku sekolah rendah terutama kaedah kuiz kumpulan. Bagi saya pendekatan ini meningkatkan kefahaman saya bahawa amalan saya dalam bilik darjah selama ini perlu diubah. Saya harus keluar daripada kongkongan amalan rutin iaitu kaedah ‘chalk and talk’ dalam bilik darjah. Kaedah yang digunakan dalam Kajian Tindakan ini bagaimanapun telah berjaya meningkatkan skor pelajar dalam Ujian Pos yang telah diadakan. Program yang dinamakan “CUNGKIL BIJAK” ini menggunakan Pendekatan Kuiz Kenegaraan. Kajian Tindakan saya ini diharapkan dapat membantu para guru yang lain untuk meningkatkan motivasi dan minat pelajar terhadap topik-topik yang dipelajari di sekolah tanpa rasa jemu dan bosan.
1.0 PENGENALAN
Kajian Tindakan dijalankan mengikut empat langkah iaitu merancang, bertindak, memerhati dan merenung. Sebelum menjalankan kajian, perancangan yang teliti perlulah dibuat terlebih dahulu supaya penyelidik dapat memahami apa yang akan dilaksanakan. Melalui perancangan yang teliti dan dengan langkah yang terancang, kajian dapat dijalankan dengan teratur dan tepat ke arah mencapai matlamat kajian. Langkah-langkah tersebut disenarai mengikut urutan.
Perancangan kajian bermula dengan mencari atau mengenal pasti masalah yang wujud dalam bilik darjah atau di sekolah yang berkaitan dengan P&P. Sebarang isu yang berkaitan dengan pendidikan khususnya yang melibatkan P&P di bilik darjah juga boleh dijadikan asas untuk memulakan kajian. Selepas itu penyelidik memahami dengan lebih mendalam tentang masalah itu. Dalam proses pembelajaran lazimnya kemahiran yang dipelajari adalah saling berkait. Murid akan mengalami kesukaran untuk memahami dan menguasai kemahiran yang lebih tinggi sekiranya kemahiran yang lebih rendah atau awal tidak dikuasai dengan baik. Seseorang guru perlu memahami masalah yang dihadapi oleh murid dengan terperinci sebelum merancang langkah-langkah pembaikan (Jeya Velu,et.al. 2000).
Tujuan diadakan Kajian Tindakan ini adalah untuk menangani pelbagai masalah pembelajaran adalah lebih tepat. Jawapan kepada sebarang soalan dalam penyelidikan adalah berasaskan data. Kajian Tindakan memerlukan data daripada beberapa sumber untuk mengukuh dan memantapkan dapatan kajian. Selain itu penggunaan data daripada pelbagai sumber atau pandangan turut memantapkan kefahaman penyelidik tentang masalah atau isu yang ditangani. Setelah dikutip, data tersebut hendaklah dianalisis dengan memberikan gambaran yang jelas tentang perkara atau situasi yang dikaji. Analisis itu juga menjadi asas kepada guru untuk merancang aktiviti P&P seterusnya atau mengubahsuai aktiviti yang telah dijalankan. Apabila merancang aktiviti eloklah dilakukan sumbang saran terhadap langkah-langkah yang akan dilaksanakan melalui pertanyaan apa, mengapa dan bagaimana (Armstrong dll., 2004) .
Setelah aktiviti P&P dirancang dengan teliti, langkah seterusnya ialah bertindak iaitu melaksanakan aktiviti di bilik darjah. Walaupun aktiviti dirancang berdasarkan analisis data yang telah dikutip, keberkesanan aktiviti belum dapat dipastikan. Aktiviti dijalankan melalui proses ‘cuba-cuba’ (trial and error). Setelah itu langkah pemerhatian dijalankan. Langkah pemerhatian haruslah diberi penelitian yang terperinci supaya proses mengutip data berjalan dengan licin dan data yang dikutip menepati keadaan yang sebenar. Di peringkat refleksi, penyelidik cuba merumuskan apa yang telah difahami atau dipelajari tentang proses P&P berkaitan dengan amalan mengajarnya. Semasa merenung, penyelidik cuba menilai, menghurai dan memikirkan dengan menyeluruh segala aspek berkaitan dengan permasalahan P&P serta reaksi penyelidik dan murid semasa kajian dilakukan (Arhar dll., 2000).

2.0 REFLEKSI PENGAJARAN DAN PEMBELAJARAN YANG LALU
Mata pelajaran Pengajian Am merupakan satu mata pelajaran wajib lulus dalam STPM. Tanpa kelulusannya pelajar sukar untuk melanjutkan pelajaran di IPTA tempatan. Di sekolah saya mata pelajaran ini adalah di bawah kumpulan Kemanusiaan. Semua pelajar adalah diwajibkan mengambil kertas ini. Jadi semua peringkat kebolehan pelajar didapati dalam semua kelas. Lagipun tiada streaming untuk pelajar tingkatan enam. Hal ini menyebabkan guru mengajar pelajar yang bertahap pencapaian akademik yang pandai, sederhana dan lemah. Dalam P&P saya kerapkali menghadapi masalah pemahaman konsep dan bidang tugas sesuatu pihak atau agensi. Pelajar sering keliru dengan bidang-bidang tugas pelbagai hierarki dalam Kerajaan Persekutuan. Pelajar saya sering keliru dan tidak dapat menghuraikan istilah dan bidang tugas yang dikehendaki, walaupun jawapan yang diperlukan adalah jawapan yang pendek dan padat. Pelajar kebiasaannya akan menjawab mengikut logik mereka sendiri dan tidak dapat mengaitkan konsep dan fakta yang telah dipelajari. Saya telah mengenal pasti beberapa sebab mengapa keadaan ini berlaku. Antaranya ialah pelajar saya tidak faham dengan jelas topik yang dipelajari. Malah mereka kurang atau tidak mengulangkaji langsung topik yang telah dipelajari di rumah. Mereka juga tidak mahu bertanya topik yang tidak difahami kepada saya atau rakan yang tahu kerana takut dilabel sebagai pelajar lemah. Selain itu mereka kurang atau tidak membuat langsung latihan secara kendiri.
Kebanyakanya hanya membuat latihan yang saya beri sebagai kerja rumah sahaja. Apabila disuruh menjawab dalam kelas, mereka teragak-agak untuk menjawabnya. Ada antaranya mengabaikan kerja rumah yang diberi. Perasaan kecewa mendapat murid-murid seperti ini kekadang wujud dalam diri dan jiwa saya. Tetapi itu tidak bermakna tiada tindakan yang drastik saya ambil. Pelbagai cara atau kaedah yang telah saya gunakan untuk menarik minat pelajar terhadap mata pelajaran Pengajian Am ini. Walaupun disedari bahawa untuk mencapai kejayaan yang cemerlang dalam subjek ini adalah sesuatu yang mustahil bagi pelajar-pelajar ini, tetapi usaha tetap dijalankan sekurang-kurangnya keputusan peperiksaan STPM kelak akan bertambah baik.
Bagaimanapun pelajar-pelajar yang mengambil subjek ini mempunyai akhlak yang baik kecuali hanya beberapa orang sahaja yang bermasalah. Hal ini dapat membantu saya melaksanakan proses pengajaran dan pembelajaran dengan baik dan lancar. Majoriti mereka membawa modul yang telah saya sediakan dan memberikan kerjasama ketika proses pengajaran dan pembelajaran sedang berlangsung.
Saya telah melaksanakan beberapa kaedah pedagogi seperti teka silang kata, kuiz, menjawab soalan secara tarik dan lepas (drag & drop),kotak ajaib,jumble trouble dan sebagainya. Hasil daripada pemerhatian didapati bahawa pelajar yang berpencapaian sederhana dan lemah ini lebih suka mengikuti pelajaran dalam suasana ceria dan seronok.jika saya menggunakan kaedah kuiz. Hal ini kerana mereka masing-masing inginkan kumpulan mereka berjaya mengumpul skor yang tinggi dalam bilik darjah mereka.

3.0 ISU KEPRIHATINAN
Kajian yang dijalankan adalah berfokus kepada kuiz yang dijangka dapat memotivasikan pelajar. Daripada pemerhatian saya, pelajar-pelajar yang mengambil subjek ini sering menganggapnya sebagai satu mata pelajaran yang sukar. Mereka didapati belajar dalam keadaan tekanan dan saya sentiasa mengingatkan bahawa subjek ini perlu dilihat dari aspek yang positif. Hal ini kerana kandungan subjek Pengajian Am adalah berkaitan dengan kehidupan mereka seharian. Oleh itu wujud idea untuk memasukkan kuiz dalam pengajaran Pengajian Am STPM. Kebiasaannya soalan-soalan kenegaraan adalah sebanyak 50. Tetapi soalan yang melibatkan Kerajaan Persekutuan adalah antara 10 hingga 12 soalan. Jika pelajar tidak dapat menguasai sepenuhnya sesuatu tajuk dalam subjek ini mereka akan kehilangan markah secara keseluruhannya dengan banyak. Tujuan kuiz ini dilaksanakan dalam kajian ini juga adalah sebagai salah satu galakan agar pelajar-pelajar berminat dan menambah keyakinan kepada mereka bahawa subjek ini tidak terlalu sukar seperti mana disangkakan oleh mereka.

4.0 OBJEKTIF KAJIAN
Selepas kajian ini dijalankan,pelajar-pelajar diharapkan akan mencapai objektif seperti berikut.:
4.1 Objektif Umum
Meningkatkan pemahaman pelajar terhadap tajuk Bidang kuasa YDPA dan jenis bidang kuasanya. Mereka diharapkan dapat menjawab soalan aneka pilhan berkaitan tajuk ini.
4.2 Objektif Khusus
• Membantu guru mengenal pasti kaedah atau pendekatan mengajar dan amalan mengajar yang lebih berkesan
• Membantu pelajar supaya dapat memahami konsep, fakta dan istilah Kenegaraan yang berkaitan dengan Bidang kusa YDPA.
• Meningkatkan pemahaman pelajar terhadap mata pelajaran ini
• Membantu pelajar meningkatkan pencapaian dalam mata pelajaran ini.

5.0 KUMPULAN SASARAN
Terdapat sejumlah 30 orang pelajar dalam kelas PAF. Kumpulan sasaran dalam kajian ini ialah pelajar yang berprestasi sederhana dan rendah berjumlah 15 orang. Pada kebiasaannya dalam setiap ujian atau peperiksaan, kadang-kadang mereka lulus atau kadang-kadang mereka gagal. Dalam kalangan pelajar ini minat terhadap mata pelajaran Pengajian Am adalah sederhana kerana menurut mereka subjek ini adalah susah dan mereka boleh memahaminya pada peringkat awal iaitu ketika mereka di tingkatan enam bawah tetapi apabila hendak menjawab soalan kenegaraan secara aneka pilihan, mereka berasa agak susah dan mudah keliru dengan cadangan jawapan yang diberikan untuk menjawab dengan tepat.

6.0 PERANCANGAN DAN PELAKSANAAN AKTIVITI
6.1 Tinjauan Awal
Saya mendapati markah ujian bulan Februari yang diperoleh oleh pelajar-pelajar kelas PAF (Prauniversiti Fikrah) ini rata-rata pencapaian mereka amat sederhana dan ada yang gagal. Sedangkan tajuk ini tidak terlalu banyak menggunakan konsep atau istileh kenegaraan yang harus diketengahkan oleh pelajar dalam jawapan mereka. Oleh itu saya terdorong untuk membuat satu kajian berkenaan pencapaian mereka.

6.2 Analisis Tinjauan Masalah
Hasil daripada temubual saya dengan pelajar-pelajar secara rawak bermula selepas markah ujian diperoleh. Saya dapat merumuskan bahawa pelajar-pelajar saya mendapati soalan-soalan yang dikemukakan tersebut amat sukar bagi mereka. Ada antara mereka tidak memahami kehendak soalan. Yang aneh ialah pelajar tidak memahami istilah kuasa budi bicara dan kuasa mendengar nasihat PM Pelajar juga tidak dapat membezakan antara YDPA dengan Majlis Raja-Raja dan tidak dapat membezakan antara Bidangkuasa Sultan dengan Bidang kuasa YDPA. Pelajar-pelajar sering keliru dengan beberapa konsep dan istilah kuasa eksekutif, penurunan kuasa, ketua agam Islam bagi Wilayah Persekutuan dan Ketua Agama bagi negeri baginda sendiri. Soalan Ujian Pra yang telah diadakan ialah pelajar dikehendaki menjawab sebanyak 25 soalan aneka pilihan yang merangkumi tajuk “Bidangkuasa YDPA Sebagai Ketua Kerjaaan Persekutuan”. Satu soalan yang betul akan diberi sebanyak 4 markah. Jadu jumlahnya 100 markah

6.3 Tindakan Yang Dijalankan
Daripada tinjauan masalah yang telah dibuat, saya berpendapat bahawa amat penting bagi saya untuk mewujudkan satu teknik atau kaedah pengajaran yang dapat membantu pelajar memahami tajuk “Bidangkuasa YDPA”. Hal ini akan dapat membantu mereka menjawab soalan aneka pilihan dengan tepat dan efisien.
Fokus Kaedah Kuiz ini adalah untuk mendapatkan seberapa banyak markah yang boleh untuk kumpulan mereka. Kemenangan bergantung kepada kebijaksanaan dan daya ingatan pelajar yang diuji dalam kuiz ini. Setiap soalan kuiz yang dijawab ditetapkan markahnya satu. Jika mana-mana kumpulan dapat menjawab semua soalan dengan betul maka mereka akan mendapat 45 markah. Saya mengingatkan pelajar-pelajar agar berhati-hati semasa menjawab soalan kuiz tersebut. Di peringkat awal pengajaran saya pernah menggunakan kaedah penerangan dan latih tubi. Saya juga pernah menggunakan persembahan power point dan juga internet sebagai bahan sokongan semasa sesi pengajaran dan pembelajaran diadakan. Tujuannya adalah untuk mengukuhkan ingatan pelajar. Permainan ini dijalankan mengikut giliran. Saya menyediakan soalan-soalan mengikut kemampuan dan keupayaan pelajar. Jika pelajar dapat menjawab soalan yang dikemukakan kepada mereka denagn betul maka mereka akan memperoleh skor mengikut bilangan soalan yang dijawab dengan betul.
Setiap pelajar akan menjawab soalan kuiz sebanyak tiga pusingan. Teknik ‘bayangan minda’ juga di laksanakan dalam kuiz ini. Pelajar-pelajar diberi‘clue’ untuk menjawab soalan. Oleh sebab tajuk ini berkaitan dengan “Bidangkuasa YDPA”, maka sepanjang proses pengajaran ini berlangsung mereka diingatkan bahawa kepentingan pelajar mengetahui bidangkuasa YDPA dan istilah-istilah kenegaraan dengan betul supaya mereka dapat menggunakan pengetahuan ini apabila mereka menjadi dewasa dan menjadi seorang rakyat yang berkesedaran sivik. Pelajar harus tahu membezakan bidangkuasa sultan dan Yang Dipertua Negeri sebagai ketua-ketua negeri dan bidangkuasa mereka amat berbeza dengan YDPA sebab baginda adalah ketua negara. Pelajar juga harus mengetahui sistem YDPA sebagai ketua negara amat berbeza dengan Presiden sebagai ketua negara republik. Soalan yang dikemukakan kadang-kadang berulang-ulang kerana saya percaya bahawa perulangan ini akan membina dan meningkatkan daya ingatan pelajar berkenaan tajuk ini secara tidak langsung.

6.4 Pemerhatian
Ujian pra yang diambil untuk kajian ini adalah daripada ujian bulan Februari. Sebelum ujian pra dijalankan tajuk Bidangkuasa YDPA telah dipelajari sepenuhnya oleh pelajar. Ujian ini mengandungi satu set ujian aneka pilihan. Saya menjalankan kajian dengan menggunakan kaedah kuiz selama dua minggu. Aktiviti dijalankan sebanyak dua kali seminggu dan masa yang diambil untuk setiap sesi adalah 35 minit. Sepanjang kajian dilaksanakan perubahan tingkah laku pelajar dapat diperhatikan. Mereka berasa seronok dan aktif semasa sesi ini berjalan.
Pelajar yang pada peringkat permulaanya berasa malu dan tidak aktif telah menunjukkan perubahan sikap yang lebih baik. Walaupun ada kumpulan yang tidak memperolehi skor yang banyak tetapi mereka tetap berasa gembira kerana tiada pelajar yang tidak memperoleh kosong markah. Semuanya berlumba-lumba untuk mengangkat tangan untuk menjawab kerana ternyata jelas semangat pasukan pada wajah mereka. Soalan serta jawapan yang berulang-ulang telah membantu pelajar-pelajar yang lemah untuk mengingat fakta mengenai kuasa-kuasa YDPA. Kesilapan jawapan rakan mereka telah menyebabkan mereka lebih berhati-hati untuk menjawab soalan dan mereka mencuba sedaya upaya untuk menjawab soalan dengan betul. Cara ini sedikit demi sedikit memberikan keyakinan kepada mereka bahawa mereka boleh belajar Pengajian Am melalui multikaedah bukan satu kaedah sahaja.
6.5 Analisis Ujian
Jadual 1 menunjukkan markah pencapaian pelajar dalam ujian pra dan ujian pos. Markah ini direkod untuk melihat prestasi pelajar dalam menjawab soalan. Semua skor yang diperoleh ditukarkan kepada Gred untuk tujuan kajian.

Jadual 1. Pencapaian pelajar dalam Ujian Pra dan Ujian Pos

Indeks Pelajar Gred Ujian Pra Gred Ujian Pos
1 C- C
2 C- C
3 C C+
4 C C+
5 C C+
6 C+ C
7 B- B
8 C+ B
9 C- C
10 C+ C
11 B B
12 C- C
13 C- C
14 C C+
15 C C+
Ujian Pra menunjukkan 5 orang pelajar memperolehi gred C-(33.3%), 5 orang pelajar juga memperolehi gred C (33.3%), 3 orang pelajar memperolehi gred C+ (20%) dan hanya 2 orang sahaja memperolehi gred kepujian B- dan B (13.3%). Ujian Pos pula menunjukkan peningkatan yang menggalakkan iaitu kesemua 15 (100%) orang pelajar tersebut telah lulus. 3 orang pelajar telah memperolehi B (20%), 5 orang mendapat C+(20%), 7 orang memperolehi C (33%). Jadual jelas menunjukkan bahawa terdapat peningkatan dalam markah ujian pos, setelah pelajar-pelajar tersebut didedahkan dengan kaedah kuiz ekonomi.

6.6 Analisis Pemerhatian
Penggunaan kuiz Pengajian Am telah dapat menarik minat pelajar dalam tajuk ini. Mereka tidak berasa bosan dan sentiasa menunggu giliran mereka untuk mengangkat tangan secara spontan untuk menjawab soalan kuiz. Mereka berlumba-lumba untuk memperolehi seberapa banyak skor yang boleh untuk memenangkan kumpulan mereka. Hal ini bermakna pelajar-pelajar berusaha untuk mengingat dan memberikan jawapan yang tepat. Setelah soalan kuiz ditanya, saya akan berhenti sekejap untuk pelajar mencari jawapan. Jika jawapan yang diterima itu betul, saya akan menandakan skor bagi kumpulan tersebut pada papan hitam. Begitulah suasananya sehingga kesemua 45 soalan kuiz ditanya. Keadaan kelas agak bising tetapi terkawal dan tergambar kegembiraan mereka sewaktu sesi ini berjalan. Suasana pembelajaran yang menyeronokkan dapat dilihat dan perasaaan malu untuk berdiri di hadapan kelas dapat diatasi sedikit demi sedikit. Perasaan rendah diri dan malu pelajar-pelajar ini memang ketara apabila diminta berdiri untuk menjawab soalan. Tetapi apabila pertandingan kuiz dimulakan, pelajar-pelajar yang berkeupayaan sederhana dan lemah ini bertambah yakin.

Jadual 2: Jumlah pungutan skor pelajar mengikut kumpulan
Kumpulan A 25 markah
Kumpulan B 20 markah

6.7 Refleksi Kajian
Penggunaan kuiz merupakan salah satu bahan sokongan dalam proses pengajaran dan pembelajaran. Kuiz merupakan satu kaedah yang boleh digunakan untuk mewujudkan suasana pembelajaran yang seronok dan menarik. Daripada pemerhatian saya, pelajar yang terdiri daripada kategori lemah dan sederhana tidak boleh menerima pembelajaran saya yang terlalu serius dan penuh dengan fakta. Saya mendapati mereka akan berasa cepat bosan dan akan mengalihkan fokus mereka kepada perkara lain yang lebih menarik minat. Apabila pertandingan kuiz ini dijadikan salah satu daripada bahan sokongan pengajaran, maka minat pelajar terhadap topik ini berubah. Pelajar berasa mereka terlibat secara langsung dan komunikasi tidak berlaku sehala sahaja.
Daripada tinjauan secara lisan pelajar-pelajar ini mengakui bahawa mereka tidak pernah mengulangkaji pelajaran di rumah. Semua mata pelajaran yang diajar oleh guru akan tamat hanya di dalam kelas sahaja. Mereka akan membuka buku jika ada kerja sekolah yang dibekalkan untuk mereka. Tetapi bukan semua pelajar ini akan membuat kerja rumah tersebut. Pelajar-pelajar yang berprestasi lemah dan sederhana ini hanya mengharapkan sepenuhnya daripada saya dan kurang berusaha untuk mendapat markah yang lebih tinggi dalam ujian. Markah ujian yang diperoleh jarang dijadikan sebagai panduan atau kayu ukur untuk mendapat markah yang lebih baik untuk ujian yang seterusnya.
Penggunaan kaedah kuiz ini sedikit sebanyak telah membuka minda mereka bahawa untuk belajar bukan hanya mendengar dan menulis sahaja tetapi mereka mesti melibatkan semua pancaindera mereka. Pergerakan tubuh badan dan pancaindera akan membantu mereka untuk menghayati dan meningkatkan kemampuan mereka yang selama ini dipendam dan seakan-akan beku dan tepu dalam hati, jiwa dan pemikiran mereka. Walau bagaimanapun dalam kajian ini terdapat dua orang pelajar yang hanya menunjukkan prestasi yang tidak jauh berbeza semasa ujian pra dan ujian pos kerana mereka sering ponteng sekolah dan tidak dapat menyertai kajian ini sepenuhnya. Oleh sebab kerap tidak hadir ke sekolah agak sukar bagi saya untuk membantu mereka menguasai dan memantapkan pemahaman mereka terhadap tajuk ini.
Saya berpendapat bahawa sebagai seorang guru, sokongan kepada pelajar amat penting. Sebagai guru, kaedah atau teknik pengajaran perlu dipelbagaikan untuk menarik minat pelajar terhadap topik yang diajar. Setiap pelajar mempunyai kecerdasan yang pelbagai. Oleh itu kreativiti seseorang guru amat penting untuk menghasilkan satu sesi pengajaran yang menarik. Sebagai guru kita pasti akan berasa bersemangat dan teruja apabila pelajar berkata ‘kami sentiasa menunggu-nunggu kedatangan cikgu’ untuk mengajar kami. Walaupun kadang-kadang terdapat keputusan ujian mereka tidak mencapai target, tetapi keinginan dan minat mereka terhadap mata pelajaran tersebut adalah penting. Pelajar adalah golongan yang sedang belajar, kesilapan dan kegagalan adalah satu proses yang perlu dilalui oleh mereka. Justeru itu sebagai golongan pendidik yang dedikasi dan prihatin sokongan dan kesabaran terhadap mereka hendaklah diberikan 100% tanpa rasa berbelah bahagi.

7.0 KESIMPULAN
Penggunaan Kaedah Kuiz merupakan satu kaedah yang sering digunakan untuk murid-murid peringkat tadika atau sekolah rendah. Walau bagaimanapun atas kesedaran bahawa terdapat pelajar yang masih lemah dalam pelajaran walaupun mereka sudah memasuki sekolah menengah atas maka pertandingan kuiz seumpama ini telah saya cuba dalam usaha menarik minat mereka dalam pelajaran. Pelajar yang berprestasi rendah dan sederhana perlu diberi perhatian yang lebih kerana mereka juga berpotensi untuk mendapat kejayaan yang lebih baik. Kemungkinan mereka tidak diberi peluang dan bakat serta potensi mereka tidak dapat digilap sepanjang tempoh pembelajaran mereka dari sekolah rendah sehingga sekolah menengah atas. Kekangan dan batasan masa seseorang guru semasa mendidik anak-anak didik ini juga merapakan salah satu faktor yang menyebabkan potensi kesemua pelajar tidak dapat dikesan dan digilap.
Saya tidak berhenti setakat kaedah kuiz ini sahaja. Pada masa akan datang permainan komputer secara interaktif juga akan diperkenalkan dalam pembelajaran Pengajian Am tingkatan enam. Saya berpendapat ini bersesuaian dengan perkembangan ICT yang terkini dan penggunaannya yang begitu meluas. Belajar melalui interaktif komputer akan memberi kebebasan, ruang dan peluang kepada semua pelajar untuk belajar secara akses kendiri tanpa bantuan guru di sekolah dan mereka boleh menggunakannya pada bila-bila masa dan di mana-mana sahaja mereka berada.

SENARAI RUJUKAN

Arhar, Joanne; Holly, Mary Louise; and Kasten, Wendy C. (2000) Action research for teachers : traveling the yellow brick road. Upper Saddle River, NJ.: Prentice-Hall.

Armstrong, Felicity, and Moore, Michele, eds. (2004) Action research for inclusive education: changing places, changing practices, changing minds. London: RoutledgeFalmer.

Jeya Velu,et.al.(2000) Pembangunan Profesional Guru : Kursus Kajian Tindakan Berasaskan Sekolah. Kota Kinabalu: Maktab Perguruan Gaya

Leave a comment